Monday, 27 April 2015

Hidup


Aku telah sampai ke satu tahap hidup dimana aku mahu ia berada di garis plateau. Dimana aku akan dikelilingi oleh orang-orang yang sama, menjalani hidup yang lebih atau kurang sama setiap hari. Tiada apa-apa yang dinamik. Kiranya, aku mahu terusan merasa bahagia bersama orang-orang di sekeliling aku itu. Kalau ada pun kecewa, biarlah kecewa yang kecil-kecil sahaja, kemudian hidup kembali seperti biasa.

Aku tidak mahu perubahan. Aku tidak mahu ada yang baru datang atau yang sudah ada pula pergi. Aku mahu semua berada di paksi masing-masing. Berputar pada tempatnya, tidak menjengah ke paksi yang lain.
Tapi itu cuma apa yang aku mahu.
Hidup. Mana mungkin kehidupan itu terus-terusan sahaja sama. Yang ada akan hilang, yang tiada akan muncul mendatang. Dan sekali-sekala diberi kejutan dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka.


Aku sedar kini aku sedang di fasa perubahan. Satu demi satu orang di sekeliling aku mulai menapak ke alam yang baru, dan sudah tentu langkah itu telahpun menjarakkan hubungan yang pernah kami ada dulu. Kalau dulu hidup aku yang kekurangan ini diisi dengan kasih sayang dari kawan-kawan sekeliling, kini aku dapat rasakan kekurangan itu sudah kembali berada di tempatnya, kembali tidak berisi. Jadinya aku kembali ditinggalkan dengan lompongan-lompongan kecil di hati.


Sudah berapa kali aku memperingati diri aku, hidup ini sebenarnya memang menyendiri. Dan mereka-mereka di sekeliling aku itu bukanlah untuk terus kekal di sisi aku selama-lamanya.
Mereka semua akan pergi.




>

>

2 comments:

semutsengal said...

penakut leteww

Naurah Nawwarah said...

Kehidupan. Hm.. Ini fasa yang sukar. Tetapi, bersabarlah ya.. :D

share